Sistem Maklumat dan Kelebihan Persaingan

Sistem Maklumat Sumber Manusia ini sangat berguna dalam menambahbaik pengurusan operasi sumber manusia dan peningkatan daya saing sesebuah organisasi. Terdapat lima elemen yang mengarah kepada daya saing dalam industri iaitu persaingan kompetitif, ancaman pesaing baru, produk gantian, kuasa penawaran oleh pembekal dan pengguna.

Sebagai contoh persaingan yang kompetitif dalam industri penerbangan di Malaysia. Syarikat penerbangan MAS terpaksa bersaing dengan syarikat Air Asia yang menawarkan tambang lebih murah. Ia bertepatan dengan slogan yang dibawa oleh Air Asia “everyone can fly”. Ramai pengguna yang memilih Air Asia berbanding dengan MAS kerana tambang yang murah dan penerbangan secara terus (tiada transit). 

Pernah saya bertanya kepada pelancong dari luar Negara yang kebetulan berada dalam penerbangan yang sama, kenapa tidak memilih penerbangan dengan MAS? Mereka menjawab “kenapa perlu gunakan duit yang banyak untuk penerbangan yang singkat”.

Produk gantian pula adalah apablia sesuatu produk yang ditawarkan pada harga yang tinggi, maka produk gantian ini akan menawarkan dengan harga yang lebin rendah. Sebagai contoh harga milo naik dengan mendadak, maka pengguna akan menukar kepada vico yang juga berasaskan coklat. Ia memberikan rasa yang hampir sama dengan milo.

Pelanggan kini mempunyai kuasa untuk menawar apabila barangan yang ditawarkan dari para pembekal dalam indusrti atau pasaran. Sebagai contoh telefon bimbit, pengguna mempunyai kuasa untuk memilih jenama telefon bimbit yang diperlukan berdasarkan kepada keperluan teknologi dan kemampuan masing-masing.

Kuasa penawaran oleh pembekal pula apabila sesebuah syarikat yang memerlukan perkhidmatan atau membekalkan barangan yang tertentu. Pembekal mungkin akan menaikkan harga bekalan sekiranya perkhidmatan / barangan yang dibekalkan tiada pesaing, maka kos produk untuk syarikat tersebut akan turut meningkat.

Terdapat lima strategi yang kompetitif yang boleh diaplikasikan oleh organisasi dalam menghadapi persaingan tadi. Strategi tersebut adalah seperti berikut:

i. Penjimatan Kos

Organisasi boleh menjual barang / produk pada harga yang lebih rendah. Organisasi boleh menggunakan kos produk yang lebih rendah tetapi perlu mengekalkan kualiti yang sama. Salah satu kaedah untuk menjual produk dengan kos yang lebih rendah ialah secara online. Dengan cara ini, organisasi tidak perlu menyewa ruang yang strategik / besar dan jurujual dalam meningkatkan jualan produk 

ii. Perbezaan 

Strategi ini diimplemen dalam mencari kelainan produk dalam pasaran. Sebagai contoh yang disebutkan oleh Dr. Naha, di luar Negara ada kedai khas yang menjual kek untuk haiwan. Ia sesuatu yang pelik dan pertama kali saya mendengarnya. Dalam tidak langsung ia suatu kelainan yang boleh meningkatkan jualan atau sebaliknya. Ia juga bergantung kepada keperluan masyarakat setempat. Saya tidak pasti jika produk seumpama ini akan diperkenalkan di Malaysia. 

iii. Inovasi 

Inovasi adalah salah satu cara untuk menjadikan sesebuah organisasi lebih berdaya saing dalam pasaran. Ia juga akan menjadi pesaing kepada produk yang sedia ada di pasaran. Bagi sesebuah organisasi yang memberi perkhidmatan, mungkin perkhidmatan atas talian (online) ini akan lebih member keuntungan kepada organisasi tersebut. 

iv. Peningkatan

Peningkatan organisasi adalah seperti mengembangkan pasaran ke peringkat global. Ia adalah salah satu cara dalam meningkat daya pasaran dengan pesaing setempat. Strategi yang baik perlu disusun dalam memastikan persaingan diperingkat global yang lebih mencabar. Semakin tinggi cabaran ini, semakin tinggi juga keuntungan yang akan diperolehi. 

v. Penstrukturan

Penstrukturan atau kesatuan oleh organisasi dalam menghasilkan satu produk yang lebih baik juga dapat meningkatkan keuntungan dan mengurangkan tahap daya saing. Jika ada lima buah organisasi bergabung dalam menghasilkan sesuatu produk, pastinya ia banyak memberi kelebihan kepada produk tersebut dan seterusnya mengurangkan kelemahan-kelemahan yang ada. 


Rujukan:

Porter, M. E. (2008). Harvard Business Review : The Five Competitive Forces That Shape Strategy

Pengenalan HRIS

Seiring dengan iklim teknologi yang semakin pesat berkembang di Malaysia, bidang sumber manusia juga tidak mahu ketinggalan. Sistem Maklumat Sumber Manusia di negara kita berada pada tahap memuaskan walaupun pelaksanaan masih belum menyeluruh.

Dari kuliah Dr. Naha, sistem maklumat ini melalui 3 peringkat yang utama iaitu input, proses dan output. Ia melibatkan sumber manusia (staf), perkakasan seperti komputer, pengkalan data, perisian program dan rangkaian komunikasi (internet). Kesemua elemen ini saling berkaitan dalam menghasilkan sistem maklumat yang baik dan mampan. 


Sistem maklumat ini dapat menyimpan pelbagai data terutamanya maklumat staf dan organisasi secara menyeluruh. Proses pencarian, penyimpanan dan kemaskini data menjadi lebih mudah dan praktikal jika dibandingkan dengan kaedah konvensional.

Pada dasarnya, sumber manusia ini telah melalui pelbagai evolusi dari zaman dahulu. Dari asal perekodan data secara manual, komputer dan sistem seperti tulis tangan, ‘typewriter’, pengkalan data, teknologi komputer, sistem atas talian (online) dan sebagainya.

Teknologi komputer yang digunakan dalam pengurusan sumber manusia adalah untuk memudahkan segala urusan harian, data pekerja, penetapan hala tuju organisasi dan sebagainya. Teknologi yang digunakan ini dapat menjimatkan kos dan seterusnya meningkat kecekapan pengurusan sumber manusia. Penggunaan teknologi komputer juga telah menambah nilai sesebuah organisasi dengan organisasi yang lain.

Pada masa ini, teknologi komputer dan pengkalan data telah diintegrasi ke sebuah sistem. Ini membolehkan organisasi tersebut menyebarluas pelbagai maklumat dan hala tuju organisasi di seluruh Negara (terutama organisasi yang mempunyai cawangan luar Negara). Sistem maklumat sumber manusia ini menjadi lebih kompleks dan dan dinamik kesan dari keberkesanan dan kecekapan sistem HRIS tersebut. 

Sistem maklumat sumber manusia ini sangat penting dan banyak memberi faedah kepada sesebuah organisasi. Aplikasi dalam sistem ini boleh menyimpan pelbagai maklumat seperti data staf, maklumat organisasi, operasi perniagaan, hala tuju organisasi dan lain-lain. Sebagai contoh sistem ini dapat membantu dalam aplikasi seperti pengurusan seperti pengkalan data pekerja, perancangan kewangan, pembayaran gaji, pengambilan pekerja dan lain-lain.

Kini majoriti organisasi samada dalam sektor awam mahupun swasta telah menggunakan sistem maklumat ini dalam menjalankan operasi perniagaan atau perkhidmatan mereka. Sistem ini sangat-sangat membantu dalam tadbir urus dengan lebih efisyen disamping dapat menjimatkan kos operasi.

Lima perkara utama yang menjadikan HRIS ini diterimapakai oleh organisasi ialah dapat meningkatkan pengurusan operasi sumber manusia dan daya saing sesebuah organisasi, mudah untuk mengeluarkan pelbagai laporan yang dikehendaki, fokus pengurusan sumber manusia yang strategik dan semua pengurusan sumber manusia menjadi lebih mudah dalam Sistem Maklumat Sumber Manusia ini.




Rujukan: 

http://humanresources.about.com/od/glossaryh/a/hris.htm

http://www.aboutemployeebenefits.co.uk/what-hris-why-important.html

Perihal diri


Nama saya Mohd Zainuddin Musoh, seorang pelajar UTMspace. Ini adalah tahun ketiga pengajian saya, pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuhi. Selain itu, saya dapat menambah ilmu dan pengetahuan baru disamping menambah kenalan rakan yang datang dari latarbelakang yang berlainan. Ada yang bekerja di sektor swasta, berniaga sendiri dan tidak kurang yang bekerja sebagai penjawat awam seperti polis, imigresen dan sebagainya.

Kesedaran untuk menyambung pengajian timbul agak sedikit lewat, kerana kawan-kawan lain telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana. Tawaran untuk menyambung pengajian di UTMspace dalam program Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) tidak disia-siakan. Pada semester ini, saya telah mendaftar untuk 3 subjek iaitu Pembangunan Kerjaya, Undang-undang Hubungan Industri dan Sistem Maklumat Sumber Manusia.

Kerjaya saya bermula di UTM pada tahun 2006 dan kini sedang berkhidmat di Pejabat Pendaftar. Berbekalkan pengalaman yang ada, proses pengajian menjadi lebih mudah kerana secara tidak sedar saya telah melalui beberapa proses atau teori yang baru diajar dalam kelas.

Saya telah berumahtangga dan dikurniakan seorang putera. Pada awal pengajian, penerimaan keluarga agak sukar kerana terpaksa tinggalkan mereka pada setiap hujung minggu. Dikala orang lain sedang berhujung minggu dengan keluarga, saya pula duduk dalam kelas menghadiri kuliah. Kalau ikut rasa memang nak ponteng je, tapi bila memikirkan masa depan cabaran ini diteruskan jua. Alhamdulillah, kini keluarga saya dapat terima dan tiada masalah.

1st impression

Sistem Maklumat Sumber Manusia (HRIS) adalah matapelajaran wajib fakulti bagi program Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di UTM. 

Blog ini dibangunkan khusus untuk memberi peluang kepada para pelajar memberi refleksi terhadap pembelajaran dalam subjek ini. Para pelajar bebas memberi pandangan terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan setiap topik yang dibincang, perkaitan dengan isu semasa dan iklim sumber manusia di sekeliling. 

Ini adalah pengalaman pertama menulis blog. Sebelum ini banyak pendedahan tentang blog tetapi belum sampai tahap untuk menulis, sekadar menjadi 'silent reader'. Semoga ia menjadi satu permulaan yang baik, disamping dapat berkongsi maklumat dan pengalaman dengan pembaca kita juga dapat menambah kenalan. 

Biasanya blog menjadi medan untuk individu menyatakan pandangan dan pengalaman mengenai sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian. Biar pun tiada siapa yang akan mendengar luahan rasa dan pandangan kita, namun kita telah meluahkan apa yang terbuku dalam hati. Rasa tak puas hati, marah, suka, duka dan bermacam lagi. 

Ok...matlamat asal blog ini adalah untuk memberi refleksi terhadap matapelajaran Sistem Maklumat Sumber Manusia (HRIS). Semua pelajar dikehendaki memberi pendapat dan refleksi dalam blog masing-masing (web folio). 


Dalam jadual kuliah sem 1 2011/2012 tertera nama pensyarah untuk subjek ini ialah Dr. Nur Naha Abu Mansor. Sebelum ini tidak pernah berjumpa dengan beliau kerana baru sahaja menghabiskan cuti tanpa gaji. Beliau pergi ke luar negara kerana mengikut suami yang menyambung pengajian di sana. 

Reputasi pensyarah sangat baik kerana sebelum ini beliau pernah mengajar di beberapa buah universiti di luar negara. Tambahan lagi, beliau adalah 'Professional HR Practice'. Ia sama seperti Jurutera Profesional (BEM), 'Chartered Accountants (CIMA)' dan lain-lain. 

Ada juga dengar cerita dari rakan pelajar (master and UG) mengenai Dr. Naha, siap ada yang 'recommend' untuk buat Latihan Ilmiah dengan Dr. Naha. Kelas pertama terpaksa dibatalkan kerana Dr. Naha demam, jadi kelas tertunda ke pertemuan akan datang. 

Pada kelas pertama, Dr. Naha menceritakan pengalaman semasa tinggal di luar negara. Sistem teknologi dan ekenomi mereka yang jauh lebih maju jika dibandingkan dengan Malaysia. Dr. Naha berlatarbelakang bidang komputer dalam ijazah pertama di UTM, kemudian telah melanjutkan pengajian sarjana dan Ph.D dalam bidang HR. 

Walau apa pun, saya amat mengharapkan agar dapat mempelajari sesuatu dari Dr. Naha yang sangat berpengalaman luas dan menguasai subjek HRIS ini. Insyallah jika diberi peluang, saya mahu bekerjasama dengan Dr. Naha yang mungkin dalam bidang penyelidikan pada masa hadapan.