Sistem Maklumat Sumber Manusia ini sangat berguna dalam menambahbaik pengurusan operasi sumber manusia dan peningkatan daya saing sesebuah organisasi. Terdapat lima elemen yang mengarah kepada daya saing dalam industri iaitu persaingan kompetitif, ancaman pesaing baru, produk gantian, kuasa penawaran oleh pembekal dan pengguna.
Sebagai contoh persaingan yang kompetitif dalam industri penerbangan di Malaysia. Syarikat penerbangan MAS terpaksa bersaing dengan syarikat Air Asia yang menawarkan tambang lebih murah. Ia bertepatan dengan slogan yang dibawa oleh Air Asia “everyone can fly”. Ramai pengguna yang memilih Air Asia berbanding dengan MAS kerana tambang yang murah dan penerbangan secara terus (tiada transit).
Pernah saya bertanya kepada pelancong dari luar Negara yang kebetulan berada dalam penerbangan yang sama, kenapa tidak memilih penerbangan dengan MAS? Mereka menjawab “kenapa perlu gunakan duit yang banyak untuk penerbangan yang singkat”.
Produk gantian pula adalah apablia sesuatu produk yang ditawarkan pada harga yang tinggi, maka produk gantian ini akan menawarkan dengan harga yang lebin rendah. Sebagai contoh harga milo naik dengan mendadak, maka pengguna akan menukar kepada vico yang juga berasaskan coklat. Ia memberikan rasa yang hampir sama dengan milo.
Pelanggan kini mempunyai kuasa untuk menawar apabila barangan yang ditawarkan dari para pembekal dalam indusrti atau pasaran. Sebagai contoh telefon bimbit, pengguna mempunyai kuasa untuk memilih jenama telefon bimbit yang diperlukan berdasarkan kepada keperluan teknologi dan kemampuan masing-masing.
Kuasa penawaran oleh pembekal pula apabila sesebuah syarikat yang memerlukan perkhidmatan atau membekalkan barangan yang tertentu. Pembekal mungkin akan menaikkan harga bekalan sekiranya perkhidmatan / barangan yang dibekalkan tiada pesaing, maka kos produk untuk syarikat tersebut akan turut meningkat.
Terdapat lima strategi yang kompetitif yang boleh diaplikasikan oleh organisasi dalam menghadapi persaingan tadi. Strategi tersebut adalah seperti berikut:
i. Penjimatan Kos
Organisasi boleh menjual barang / produk pada harga yang lebih rendah. Organisasi boleh menggunakan kos produk yang lebih rendah tetapi perlu mengekalkan kualiti yang sama. Salah satu kaedah untuk menjual produk dengan kos yang lebih rendah ialah secara online. Dengan cara ini, organisasi tidak perlu menyewa ruang yang strategik / besar dan jurujual dalam meningkatkan jualan produk
ii. Perbezaan
Strategi ini diimplemen dalam mencari kelainan produk dalam pasaran. Sebagai contoh yang disebutkan oleh Dr. Naha, di luar Negara ada kedai khas yang menjual kek untuk haiwan. Ia sesuatu yang pelik dan pertama kali saya mendengarnya. Dalam tidak langsung ia suatu kelainan yang boleh meningkatkan jualan atau sebaliknya. Ia juga bergantung kepada keperluan masyarakat setempat. Saya tidak pasti jika produk seumpama ini akan diperkenalkan di Malaysia.
iii. Inovasi
Inovasi adalah salah satu cara untuk menjadikan sesebuah organisasi lebih berdaya saing dalam pasaran. Ia juga akan menjadi pesaing kepada produk yang sedia ada di pasaran. Bagi sesebuah organisasi yang memberi perkhidmatan, mungkin perkhidmatan atas talian (online) ini akan lebih member keuntungan kepada organisasi tersebut.
iv. Peningkatan
Peningkatan organisasi adalah seperti mengembangkan pasaran ke peringkat global. Ia adalah salah satu cara dalam meningkat daya pasaran dengan pesaing setempat. Strategi yang baik perlu disusun dalam memastikan persaingan diperingkat global yang lebih mencabar. Semakin tinggi cabaran ini, semakin tinggi juga keuntungan yang akan diperolehi.
v. Penstrukturan
Penstrukturan atau kesatuan oleh organisasi dalam menghasilkan satu produk yang lebih baik juga dapat meningkatkan keuntungan dan mengurangkan tahap daya saing. Jika ada lima buah organisasi bergabung dalam menghasilkan sesuatu produk, pastinya ia banyak memberi kelebihan kepada produk tersebut dan seterusnya mengurangkan kelemahan-kelemahan yang ada.
Rujukan:
Porter, M. E. (2008). Harvard Business Review : The Five Competitive Forces That Shape Strategy